Friday, May 10, 2013

APAKAH MASALAH DALAM MEMBACA?

 MASALAH DALAM MEMBACA


Masalah bacaan dalam kalangan pelajar sekolah sekarang mendapat perhatian umum. Kerisauan tentang masalah ini bukan hanya pada ibu bapa dan guru-guru sahaja malah sudah hingga ke peringkat pemimpin tertinggi negara. Berbagai-bagai usaha telah dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan peringkat kebangsaan. Satu usaha terbesar yang dilaksanakan adalah KBSR yang bermatlamatkan kecemerlangan pendidikan sekolah rendah, dan diikuti dengan KBSM di sekolah menengah.


Namun, selepas fasa pertama KBSM, didapati ramai pelajar kita yang masih gagal menguasai 3M. Hakikat ini diakui dalam seminar Kebangsaan KBSR pada 1989 yang merumuskan :

Pelaksanaan Program dan Penggayaan dalam kelas KBSR tidak mencapai tahap yang dijangkakan - menyebabkan terdapat sebilangan kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran asas 3M hingga ke peringkat tahap II persekolahan rendh dan di peringkat persekolahan menengah.

Keadaan ini amat menakutkan apabila semakin ramai pelajar kita yang gagal membaca walaupun sudah memasuki sekolah menengah. Sebagai usaha untuk memulihkan masalah bacaan murid di sekolah rendah, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program Kelas  Intervensi Membaca dan Menulis atau KIA2M.



CIRI-CIRI MASALAH BACAAN



1. Peringkat mengenal nama-nama huruf yang hampir sama
  • Keliru dengan nama huruf yang sama bentuk. Contohnya, ‘y’ dengan ‘g’
  • Keliru dengan orientasi kedudukan bentuk huruf. Contohnya, ‘b’ dengan ‘d’, ‘m’ dengan ‘w’
  • Keliru dengan huruf yang hampir-hampir sama frekuensi. Contohnya, ‘b’ dengan ‘d’,’p’,’t’
  • Keliru dengan orientasi kedudukan huruf besar yang hampir sama bentuk. Contohnya, ‘W’ dengan ‘M’, ‘Z’ dengan ‘N’
  • Tidak dapat mengadun bunyi-bunyi huruf yang bergabung seperti diftong dan diagraf. Contoh, ‘ai’, ‘au’, ‘ny’, ‘sy’, ‘kh’
  • Menyebut nama-nama huruf mengikut telor bahasa ibunda. Contohnya, ‘o’ disebut ‘wo’, ‘l’ disebut ‘yel’, ‘m’ disebut ‘yem’, ‘r’ disebut ‘yar’, ‘z’ disebut ‘jed’.

2. Peringkat mengadun bunyi-bunyi dan membatang suku kata.
  • Kesukaran untuk mengadun dan membatang suku kata :
  • i. terbuka + tertutup. Contoh : bu–ah, un–ta, pin–tu, ar–nab, ting–kap.
  • ii. Tertutup + terbuka. Contoh : ba-suh, i-tik, ting-gi, an-jing
  • Keliru membunyikan suku kata yang melibatkan huruf ‘e-taling’ dan ‘e-pepet’. Contoh, sepak dengan sepak
  • Sukar membatangkan perkataan yang lebih daripada dua suku kata. Contoh : sekolah, berbunga, sempadan, ambulan, bangunan, peristiwa and so on
  • Sukar membatang perkataan yang mengandungi diagraf dan diftong. Contoh, main, buih, surau, balai, nyamuk, singa, syarat, tengah,
  • Sukar membatang perkataan yang bermula dengan imbuhan ‘me’. Contohnya, memakai, menyala, membeli, mengambil.

3. Peringkat membaca ayat.
  • Gantian atau mengubah atau menggantikan bunyi suku kata atau perkataan. Contoh, dapat-padat, sekolah-selokah, asrama-asmara, simpan-sampai, seluar-selalu tertinggal atau meninggalkan ayat.
  • Pembalikan perkataan. Contoh, suka-saku, besar-beras
  • Berulang-ulang
  • Merangkak-rangkak. Contoh, membaca selepas mengeja dan ketidaksesuaian teks atau bahan
  • Membaca mengikut loghat atau dialek. Contoh, ‘kucing suka makan ikan’ dibaca sebagai ‘kucin suka makang ikang’. ‘Dia lari kerana hujan’ dibaca sebagai ‘dia lali kelana hulan’. ‘Emak dia pergi sembahyang’ dibaca sebagai ‘emak dia pigi sembahyang’



JENIS-JENIS MASALAH MEMBACA

Masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak dapat dilihat melalui aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui aspek bacaan kefahaman.
Antara masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak adalah seperti berikut :


a)  Membuang/ meninggalkan (omission)
Bunyi huruf perkataan, dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca, misalnya "buah" disebut "uah", "kering" disebut "kerin". Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca seperti :


    "Buku itu sangat tebal", tetapi dibaca "Buku itu tebal"


b)  Ulangan (repetition)


Mengulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap.



c)  Gantian (substitute)


Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya "ladang" disebut "lalang". Manakala terdapat perkataan yang digantikan dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat.



d)  Tambahan (insertion)


Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca, misalnya "buah" disebut "buwah". Manakala, penambahan perkataan berlaku seperti berikut :


"Saya suka makan rojak" dibaca "Saya sangat suka makan rojak".




e)  Pembalikan (reversals)

Huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang. Contoh :


"Bala" disebut "laba", manakala pembalikan perkataan dalam ayat berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh : "Dia makan nasi" dibaca sebagai "Dia nasi makan", dan begitu juga dengan pembalikan frasa.



f)  Tidak kenal huruf


Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan kanak-kanak gagal membaca dengan baik. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna.



g)  Salah sebutan


Salah sebutan terjadi akibat kanak-kanak tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.






IMPLIKASI MASALAH MEMBACA


Menurut Kamus Rujukan Dewan Bahasa Dan Pustaka, implikasi membawa kesan (kemungkinan dsb) yang terbit.

Menurut laporan pada akhir tahun 70an, terdapat ramai murid sekolah rendah terutamanya yang tinggal diluar bandar yang tidak boleh membaca atau tidak cekap membaca bahasa mereka sendiri (bahasa Malaysia). Masalah sebegini banyak memberi implikasi terhadap murid itu sendiri dan juga negara. Antara implikasinya ialah :

  • Negara kita akan mempunyai ramai orang yang buta huruf, justeru negara kita akan menjadi negara mundur di dunia ini.
  • Maka akan wujud sekelompok manusia yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan.
  • Masalah seterusnya ialah seseorang murid itu sukar untuk bergaul dalam masyarakat.
  • Kepincangan masyarakat jelas terbukti kerana masyarakat terutamanya terhadap pelajar tidak dapat membezakan mana yang baik dan buruknya sesuatu perkara.
  • Negara kita tidak dapat melahirkan masyarakat yang berkaliber, justeru itu kita tidak dapat dipimpin oleh ketua negara yang berpendidikan. 
  • Impak yang ketara sekali ialah wujudnya keciciran pelajar kerana pelajar tidak berminat untuk belajar.
  • Seseorang murid itu akan berasa rendah diri seandainya seseorang murid itu tidak dapat menguasai kemahiran membaca.
  • Murid tidak dapat membina sikap yang baik dan tidak mempunyai cita-cita dan fikiran yang "terbuka" dan "positif".
  • Seseorang murid itu tidak akan dapat memperolehi kemahiran ilmu pengetahuan yang tinggi.
  • Seseorang murid tidak akan mempunyai kebolehan menilai, mengulas dan mengkritk apa yang dibaca dengan saksama. 
  • Sukar bagi seseorang murid itu untuk menyelesaikan masalah-masalah seharian baik yang berhubung dengan diri sendiri dan masyarakat.



No comments:

Post a Comment