Saturday, May 11, 2013

APAKAH KAEDAH PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA???

KAEDAH MENGAJAR MEMBACA

1. Kaedah abjad/ huruf

2. Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
3. Kaedah fonik/ bunyi
4. Kaedah gabungan bunyi - kata
5. Kaedah VAK
6. Kaedah pelbagai deria - VAKT
7. Kaedah Fernald
8. Kaedah Gillingham




1. Kaedah Abjad/ Huruf

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a sampai z. Selepas itu, kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o dan u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au dan oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh : 
  • Memperkenalkan huruf a hingga z 
  • Menggabungkan huruf vokal a, e, i, o dan u
  • Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be bi, bo, bu
  • Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu =batu
  • Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.
Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.


2. Kaedah Pandang dan Sebut/ Kaedah Seluruh Perkataan

Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan,lari main, emak, bapa dan sebagainya.

Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.

Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya, bagi perkataan "rumah", guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf "r" iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ].






3. Kaedah Fonik/ Bunyi



Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru.Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan keranasusuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku katayang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]

[ t ] + [ a] = [ ta]
[ ba ] + [ ta ] = [ bata ]


4. Gabungan Bunyi - Kata  (Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan)



Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu, membina suku kata dan seterusnya perkataan.Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

Contoh :


i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf

   tersebut.

ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.


iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.


iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.


v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan apa

    yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.

vi. Murid membaca apa yang telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf (terjemahkan huruf yang ditulis

    kepada bunyi yang boleh didengar).

vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu.




Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih tubi berikut :

i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).


ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya

   menulis (proses mengeja).


Hubungan antara nama, bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.





5. Kaedah VAK



 Kaedah VAK ini menggabungkan deria penglihatan dan pendengaran dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini, murid melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya.


Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran seperti berikut iaitu pelajar :

i. Memerhati perkataan yang hendak dipelajari


ii. Menyebut perkataan itu


iii. Cuba menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya, dan


iv. Bandingkan hasil tulisan dengan perkataan asal.


Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkataan dapat ditulis dengan betul.



6. Kaedah Membaca Pelbagai Deria - VAKT (Multisensory Reading Method)


Kaedah ini dikenali sebagai kaedah VAKT yang bermaksud :


V - visual (penglihatan)

A - audio (pendengaran)
K - kinetik (pergerakan)
T - taktil (sentuhan)


Kaedah ini berpegang kepada prinsip "ransangan" dalam pembelajaran dan berdiri atas premis bahawa ransangan ke atas beberapa deria yang sensitif akan mengukuhkan pembelajaran.
Langkah-langkah pengajaran adalah seperti berikut :

  • Kaedah ini menggunakan surihan (tracing) untuk mengajar bacaan.
  • Guru menulis huruf cetak yang besar di atas kertas 4" x 10" (menggunakan krayon)
  • Murid membuat surihan huruf dengan jari di atas kertas itu.
  • Untuk mendapatkan kesan sentuhan semasa membuat surihan, huruf dibuat daripada kertas pasir, menggunakan talam berpasir/lumpur, mewarna dengan jari, huruf timbul yang besar dan lain-lain. 
Untuk belajar huruf melalui kaedah VAKT, murid hendaklah :


  1. Lihat huruf ( V )
  2. Dengar guru sebut huruf ( A )
  3. Menyebut huruf ( A )
  4. Dengar huruf yang disebut ( A )
  5. Rasa pergerakan otot semasa membuat surihan huruf ( K )
  6. Rasa permukaan huruf dengan hujung jari ( T )
  7. Lihat pergerakan tangan semasa tracing ( V )
  8. Dengar sendiri huruf yang disebut semasa membuat surihan ( A )
Kaedah VAKT dijadikan asas kepada model-model pengajaran bacaan yang lebih terperinci oleh tokoh-tokoh seperti Fernald, Gillingham, dan lain-lain.




7. Kaedah Fernald
Kaedah ini diperkenalkan oleh Fernald G. M dan Helen B.K (1943, 1988) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman bahasa dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria (VAKT). Pendekatan ini dibentuk untuk pengajaran secara individu.

Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald, iaitu :
  1. Menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan ingatan satu perkataan yang diberi.
  2. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang diberi.
  3. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang dijumpai dalam petikan, dan
  4. Belajar melalui perkataan asas (sight words) yang terdapat dalam teks.

Peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald adalah seperti berikut :


Peringkat 1 :



  • Guru menulis perkataan dengan besar menggunakan crayon di atas kertas.
  • Pelajar surih huruf-huruf dengan jari ( T - K ) sambil menyebut dan mendengar sebutan perkataan itu ( A ).
  • Pelajar juga memadang perkataan itu semasa membuat surihan ( V ).
  • Proses ini diulang sehingga pelajar boleh menulis perkataan tanpa melihat contoh.
  • Pelajar menulis cerita berdasarkan perkataan yang telah dipelajari.
Peringkat 2 :
  • Pelajar tidak perlu surih setiap perkataan, tetapi hanya melihat perkataan yang guru tulis, menyebut, dan menulis perkataan tersebut.
  • Pelajar meneruskan menulis cerita dan meyimpan fail perkataan.
Peringkat 3 :
  • Pelajar belajar perkataan baru dengan melihat, menyebut, dan menulisnya terus daripada perkataan-perkataan yang bercetak, atau bahagian-bahagian perkataan yang sudah dipelajari.
  • Pelajar sudah boleh menggunakan kemahiran bacaan untuk mengembangkan minat membaca.

Kaedah Fernald mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi, iaitu :



  1. Kejayaan hendaklah ditekankan supaya motivasi pelajar dapat ditingkatkan atau dikekalkan ,
  2. Keempat-empat peringkat perlu dikuasai mengikut urutan, dan
  3. Hanya diguna untuk pelajar yang menghadapi masalah bacaan yang teruk sahaja seperti disleksia, murid pemulihan, dan murid PKBP.

8. Kaedah Gillingham

Kaedah ini diperkenalkan oleh Gillingham dan Stillman pada tahun 1970-an difokuskan untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil masa yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi dengan ketat, iatu memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk selama dua tahun (minimum).

Kaedah Gillingham menumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi dan berorientasikan pendekatan fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang bersamaan dengannya.

Keadah  Gillingham menekankan pendekatan pelbagai deria yang terdiri daripada enam kesatuan deria yang sangat penting pada peringkat permulaan mengajar huruf-huruf. Enam kesatuan asas itu adalah :
  1. V-A (Visual-Auditory). Perkataan yang ditulis dan huruf-huruf dihubungkan dengan bunyinya. Murid tidak perlu menyebut bunyi-bunyi itu.
  2. A-V (Auditory-Visual). Bunyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan imej visual. Tugasan ini seakan-akan aktiviti mengeja.
  3. A-K (Auditory-Kinesthetic). Bunyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan pergerakan otot semasa menyebut dan menulis.
  4. K-A (Kinesthetic-Auditory). Tangan murid dibantu untuk menyurih atau menulis bentuk huruf sambil menyebut nama atau bunyi huruf tersebut.
  5. V-K (Visual-Kinesthetic). Huruf cetak dan perkataan dikaitkan dengan pergerakan otot semasa bertutur dan menulis.
  6. K-V (Kinesthetic-Visual). Pergerakan otot semasa bertutur atau menulis dikaitkan dengan bentuk visual huruf-huruf.

Langkah-langkah Pengajaran :

Langkah 1:
  • Dengan menggunakan kad latih tubi, tunjuk satu huruf kepada murid.
  • Guru menyebut nama huruf dan murid mengikut sebutan guru.
  • Bila sudah mahir, guru menyebut bunyi huruf dan murid mengikutnya.
  • Soalan guru, "Apakah bunyi huruf ini?"
Langkah 2 :
  • Tanpa menggunakan kad latih tubi, guru membunyikan mengikut huruf.
  • Soalan guru, "Berikan nama huruf yang bunyinya [c]. Guru menggunakan strategi ejaan lisan.
Langkah 3 :
  • Guru menulis huruf dan menerangkan bentuknya.
  • Murid menyurih tulisan guru, dengar, pandang, dan membunyikan huruf itu.
  • Guru mula memperkenalkan tulisan sambung.
Setelah murid mahir 10 huruf (konsonan dan vokal), mereka mengadun huruf-huruf menjadi perkataan.

Sebagai rumusannya, semua guru adalah bertanggungjawab untuk mengesan kelemahan bacaan pelajarnya, mengenal pasti punca masalah, dan cuba membantu mereka membina kemahiran membaca seawal mungkin supaya masalah ini dapat dipulihkan sebelum menjadi lebih teruk.







No comments:

Post a Comment