Friday, May 10, 2013

APA ITU MEMBACA???

KEMAHIRAN MEMBACA



Membaca didefinisikan dengan satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak. Kemahiran membaca ini melibatkan dua proses. Iaitu menterjemahkan lambang bertulis atau bercetak kepada bunyi bahasa dan mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan.

Membaca juga merupakan proses mengubah simbol-simbol grafik iaitu tulisan kepada konsep-konsep intelektual dan proses ini memerlukan daya mental. Membaca juga merupakan terjemahan daripada bentuk tulisan kepada satu bentuk bahasa yang membolehkan pembaca menimbulkan makna daripada bentuk tulisan berkenaan. Di samping itu, membaca merupakan satu cara untuk memahami pola-pola bahasa daripada bentuknya yang ditulis.

Selain itu, bacaan ini juga banyak melibatkan kebolehan mengenai lambang-lambang dan menterjemahnya kepada bunyi bahasa dan memahami makna yang disampaikan oleh tulisan itu. Dalam konsep membaca juga, ia membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca dan ia melibatkan pemikiran yang konstruktif.

Berdasarkan pendapat beberapa sumber, mereka mengkonsepkan kemahiran membaca mengikut kefahaman mereka. Antaranya Harris dan Sipar mengkonsepkan sebagai proses interpretasi makna, lambang-lambang bercetak dan memahami apa yang dibaca. Mengikut Smith dan Johnson pula merupakan proses komunikasi dan melalui situasi pertukaran idea disamping pembaca dapat mesej daripada penulis. Atan Long pula mengkonsepkan sebagai pemindahan dan penterjemahan lambang serta memahami makna dalam setiap pembacaan yang dilakukan. Mengikut Kenedy pula mereka mengecam bentuk visual dan menghubungkan bunyi, bentuk dan makna pembacaan.

Kemahiran membaca ini mempunyai beberapa tujuan. Iaitu membolehkan murid mengenal huruf, menyebut nama dan bunyi huruf. Dengan membaca juga dapat melatih murid membaca dengan sebutan, tekanan, nada dan intonasi yang betul. Penuturan ayat-ayat gramatis dalam kalangan murid-murid juga perlu diterapkan. Di samping itu, murid juga perlu dilatih supaya membaca dengan senyap dan pantas di samping memahami isi yang dibaca dengan pantas. Tambahan lagi, murid-murid perlu ditanamkan kemahiran untuk menjelaskan makna perkataan dan ayat-ayat dengan jelas, cepat dan tepat. Tujuan membaca dibahagi kepada dua iaitu tujuan serta-merta dan tujuan lanjutan.

Terdapat empat tujuan serta merta dalam kemahiran membaca. Antaranya ialah untuk membolehkan murid membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul. Dalam tujuan ini juga adalah supaya murid berkebolehan dalam pembacaan secara senyap. Sikap suka membaca dan mahu membaca secara terus menerus diwujudkan dalam diri murid-murid disamping mencari maksud daripada apa yang dibaca. Selain itu, minat mahu membaca juga perlu ditimbulkan. Ini boleh dijadikan sebagai alat hiburan pada masa lapang.

Manakala dalam tujuan lanjutan pula, kemahiran membaca dijadikan sebagai alat untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman setelah keluar dari sekolah. Ini dapat merapatkan lagi diri dengan masyarakat dan memudahkan mereka mengikuti perkembangan alam dan manusia. Selain itu, fahaman mereka dapat diluaskan serta idea-idea yang salah dapat diperbetulkan. Bahan fikiran untuk dijadikan panduan hidup juga boleh diperolehi melalui tujuan lanjutan ini.


Terdapat empat jenis bacaan iaitu bacaan mekanis, bacaan intensif, bacaan mentalis dan bacaan ekstensif.

Bacaan mekanis didefinisikan dengan bacaan kuat. Bacaan ini mementingkan sebutan huruf dan bunyi dengan betul. Bacaan mekanis ni merupakan satu pembacaan yang mengikut intonasi, nada dan tekanan yang dilakukan dengan betul. Bahan bacaan yang mudah juga digunakan dan cara ini tidak membebankan fikiran.

Tujuan bacaan mekanis ini adalah untuk membolehkan murid berlatih membaca sendiri. Ini juga membolehkan murid membaca dengan cekap dan pantas dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas. Di samping itu, murid boleh mencapai kecekapan membaca secara kuat serta membolehkan murid tahu untuk menggunakan tanda-tanda baca serta tahu berhenti pada tempat yang betul.

Terdapat empat cara pelaksanaan yang boleh dijalankan untuk bacaan mekanis ini. Antaranya ialah guru membaca dan murid mengikut. Guru juga hendaklah membimbing murid-murid membaca secara individu dan bergilir-gilir. Selain itu, guru hendaklah membaca sebagai contoh dan murid menyemak bacaan guru. Di samping itu, guru hendaklah berbincang dan bersoal jawab dengan murid tentang isi bacaan untuk menguji kefahaman murid.




Bacaan intensif pula didefinisikan dengan bacaan yang dilakukan dengan teliti, memahami, mentafsir apa yang dibaca dengan tepat serta menekankan kepada kajian-kajian terhadap cirri-ciri tatabahasa dan meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan.

Tujuan bacaan intensif ialah untuk membolehkan murid membaca dengan baik iaitu betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa. Laras bahasa yang pelbagai juga dapat dikenalpastii dan rumusan daripada keseluruhan bacaan dapat dibuat. Di samping itu, isi-isi yang diperoleh dapat dinilai dan diulas melalui bahan-bahan bacaan yang dibaca.

Cara pelaksanaan yang boleh dilakukan dalam bacaan intensif ini ialah membenarkan murid-murid menggunakan kamus atau buku teks rujukan tatabahasa. Soalan-soalan untuk bacaan intensif ini juga perlu dipelbagaikan. Antaranya ialah bentuk objektif, salah betul, lisan dan jawapan bertulis. Bahan bacaan intensif dibincangkan bersama oleh murid dalam kelas. Kemudian ia akan dianalisa dan seterusnya dijadikan asas untuk latihan-latihan menulis.

Bacaan ekstensif didefiniskan dengan bacaan yang dilakukan di luar kelas tanpa bimbingan guru. Ia menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memahami dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuhkan minat membaca dan berkebolehan dalam memetik isi-isi penting. Selain itu, ia didefinisikan juga dengan mengandaikan murid membaca tanpa menghadapi kesukaran dan mendapat keseronokan, kepuasan dan terhibur.


Pemahamam murid dipertingkatkan merupakan salah satu daripada tujuan membaca. Murid juga perlu didedahkan kepada aspek-aspek bahasa. Murid juga dapat menambahkan kosa kata mereka serta dapat membantu mereka dalam penulisan. Murid juga perlu dimotivasikan supaya dapat memupuk kesedaran membaca dalam diri murid-murid. Selain itu, pengetahuan bahasa yang telah dipelajari dapat diperkukuhkan. Serta kemahiran dalam membuat jangkaan dapat dipertingkatkan.

Dalam cara pelaksanaan pula, guru hendaklah menyediakan bahan bacaan yang pelbagai topik. Membaca juga perlu dilakukan mengikut kehendak murid itu sendiri. Apa yang paling utama ialah guru hendaklah menjadi model kepada murid dengan menunjukkan manfaat yang diperoleh daripada bahan bacaan. Bacaan ini hendaklah dilakukan secara senyap dan mengikut kemampuan sendiri. Tambahan lagi, murid hendaklah membaca seberapa banyak buku yang termampu.

Bacaan mentalis didefinisikan dengan bacaan akaliah iaitu bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukarkan isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap dijalankan setelah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

Tujuan bacaan senyap adalah untuk melatih murid-murid supaya boleh membaca dengan sendiri. Ini juga dapat melatih murid-murid membaca mentalis dengan pantas. Di samping itu, bacaan mentalis juga menitikberatkan penggunaan kemahiran bacaan mentalis untuk mendapat pengetahuan. Serta bacaan mentalis juga dikenali sebagai hiburan.




Bacaan mentalis dilaksanakan adalah untuk kefahaman. Bahan-bahan yang diajar mestilah berperingkat-peringkat daripada bahan-bahan yang sedikit dan mudah kepada bahan-bahan yang banyak dan susah. Guru-guru pula hendaklah memberi dan menentukan bahan bacaan yang digunakan oleh murid-murid. Semasa pelajaran dijalankan guru membantu dan memandu murid-murid yang lemah dari segi pembacaan. Selain itu, guru bertanggungjawab untuk bersoal jawab dan membincangkan perkataan dan rangkai kata yang susah.

Bahan bacaan yang hendak dibaca oleh murid hendaklah ditentukan oleh guru dan murid-murid hendaklah berusaha untuk memahamkannya sendiri. Guru perlu menghadkan masa murid-murid membacaa dan memahamkan isi bacaan. Guru kemudian menjalankan pula latihan kefahaman dengan mengemukakan soalan-soalan. Ini boleh juga dijalankan dengan cara menceritakan semula apa yang telah dibaca atau dibuat dalam bentuk ujian objektif dan subjektif. Di samping itu, guru juga hendaklah membantu membetulkan kesalahan-kesalahan yang terdapat semasa murid-murid mengemukakan isi bacaan.

No comments:

Post a Comment